Geng Aku

Ahad, 4 April 2010

Sultan Kelantan Naik Kereta ‘Bersiar’ Tinjau Kota Baru.


Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra yang dikatakan masih gering keluar dari Istana Mahkota, Kubang Kerian dekat sini untuk ‘bersiar-siar’ di bandar Kota Baru lewat petang tadi.

Baginda dengan ditemani Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, menaiki kereta Batley yang dipandu anakanda ketiganya Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga Tengku Temenggong Kelantan.

Foto yang diperoleh menunjukkan baginda berada di tempat duduk penumpang bahagian depan dan kelihatan ceria. 

Jurucakap Istana Mahkota yang ditemui berkata, ini adalah kali kedua baginda keluar melihat situasi persekitaran bandar Kota Baru sejak berangkat pulang daripada menjalani rawatan di hospital Singapura.

“Tiga hari lepas baginda bersiar-siar di pekarangan Istana Mahkota dan berangkat ke Istana Negeri, kemudian pulang semula ke Istana Mahkota.

“Kalau kita orang kampung bercakap, keluar ambil angin... begitulah lebih kurangnya,” kata jurucakap itu yang enggan namanya didedahkan.

Beliau juga enggan menyebut tahap kesihatan baginda sekarang.

“Saya tak boleh pastikan itu sebab saya bukan doktor.

“Tapi kalau hendak dibandingkan dengan dulu memang Tuanku nampak lebih sihat dan stabil sekarang ini,” katanya.

Tuanku Sultan berangkat pulang ke Istana Mahkota 4 Mac lalu setelah hampir 10 bulan menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Sebelum itu baginda dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini pada bulan yang sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails