Geng Aku

Sabtu, 20 Mac 2010

SPR Umum Kata Putus Pilihan Raya PBT Selasa Ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan pendiriannya Selasa ini berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang hendak diadakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

SPR akan mengadakan mesyuarat terakhir Isnin ini sebelum mengumumkan keputusannya pada keesokan hari.

“Sebenarnya kami (panel SPR) sudah membincangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor Selasa lalu dan cuma pada Isnin ini kami akan membuat penelitian terakhir berhubung kenyataan yang akan dibuat, selewat-lewatnya Selasa minggu depan,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Perbincangan panel SPR di ibu negara Selasa lalu berlandaskan laporan yang dikemukakan penasihat perundangan.

“Keputusan yang kami akan buat, umumkan adalah berlandaskan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan... tidak berkaitan dengan aspek-aspek lain... kami mahu keputusan yang bakal dibuat itu tepat, sempurna dari segi lunas perundangan,” katanya.
Selain itu tambah beliau, perkara tersebut perlu diteliti dengan mendalam memandangkan permintaan Pulau Pinang dan Selangor agak berlainan walaupun menyentuh perkara yang sama.


“Pulau Pinang mahu memberi kuasa kepada kami (SPR) mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan manakala Selangor mahu kami mengkaji sama ada boleh mengadakan pilihan raya (kerajaan tempatan).

“Jadi ini melibatkan soal perundangan dan perlu diteliti secara mendalam,” katanya.
Kedua-dua negeri itu baru-baru ini meminta agar SPR mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum membuat keputusan terakhir.

Selasa lalu Abdul Aziz berkata, kajian teliti perlu dilakukan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum menjawab dua surat yang diterima daripada kedua-dua kerajaan negeri tersebut.

Katanya langkah itu bagi memastikan jawapan yang akan diberikan kepada mereka tepat dan betul dan mereka benar-benar faham mengenai kedudukan perkara itu pada masa ini.

“Kita akan hantar surat jawapan kepada kerajaan negeri itu terlebih dahulu sebelum mengumumkan pendirian SPR selewat-selewatnya minggu depan,” katanya.

Abdul Aziz juga berkata sebagai badan bebas dan profesional, SPR tidak terikat dengan sesiapa sama ada pendapat Perdana Menteri, pihak pembangkang atau sesiapa sahaja dalam memutuskan perkara itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menulis surat kepada Pengerusi SPR pada 8 Mac lalu dengan memberi kuasa kepada mereka untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Isnin lalu kerajaan Selangor meminta SPR mengkaji peraturan dan memberi pandangan mengenai tindakan mengadakan pilihan raya PBT di negeri itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata pilihan raya PBT yang sudah dimansuhkan sejak sekian lama itu tidak perlu diwujudkan semula.
Katanya proses pemilihan ahli majlis PBT tidak semestinya menjamin mutu perkhidmatan PBT yang lebih baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails