Geng Aku

Isnin, 1 Februari 2010

Apo Kono Dengan Zambry Ni?

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mencabar bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 lagi wakil rakyat pembangkang mengosongkan kerusi mereka bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di 28 kerusi DUN pembangkang di Perak.


Beliau berkata, Mohammad Nizar dan wakil rakyat pembangkang berkenaan tidak perlu teragak-agak untuk mengosongkan kerusi DUN masing-masing sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa sebahagian besar rakyat Perak teguh menyokong pembangkang.

"Kalau pembangkang rasa mereka popular sekarang, bubarlah 28 kerusi mereka. Kita tengok sama ada mereka dapat semula 28 kerusi DUN ataupun tidak (pada pilihan raya kecil)," katanya kepada pemberita selepas diwawancara dalam program Setahun Melayari Arus di studio Perak FM di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Mohammad Nizar sebelum ini bahawa bekas Menteri Besar Perak itu akan memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN Perak sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung siapa Menteri Besar Perak yang sah pada 9 Februari ini berpihak kepadanya.

Zambry menegaskan bahawa kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) tidak akan membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihan raya negeri semula diadakan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang.

"Nak bubar DUN ini adalah permainan mereka. Saya tidak akan ikut permainan mereka, bukan kerana takut tapi kerana tidak mahu terikut-ikut rentak permainan pembangkang ini," katanya.

Terdahulu dalam wawancara itu, Zambry berkata, fokus utama kerajaan negeri BN yang diterajuinya adalah untuk membangunkan ekonomi dan memakmurkan negeri Perak dan bukannya terheret ke dalam permainan politik pembangkang yang tidak berkesudahan.

"Sebaik sahaja kita (BN) mentadbir, saya telah memaklumkan bahawa kita tidak boleh selamanya bermain dengan politik kerana rakyat di luar sana inginkan sesuatu daripada kita.

Ada masanya rakyat ingin memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting khususnya dalam konteks pembangunan ekonomi negeri," katanya.

Zambry yang dilantik Menteri Besar Perak Ke-11 menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lepas menyatakan keyakinannya bahawa sokongan masyarakat pelbagai kaum di Perak terhadap BN akan terus bertambah disebalik pelbagai permainan politik yang dimainkan oleh pembangkang.

"Saya yakin bahawa rakyat di Perak tidak akan termakan dengan cara mereka (pembangkang) dan dengan adanya perkembangan ekonomi yang baik, kedudukan keamanan yang baik di Perak dan program pembasmian kemiskinan efektif yang kita lakukan, saya yakin akhirnya rakyat akan bersama-sama dengan kita... dengan syarat kita pun kena buat kerja dengan kuat," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails