Geng Aku

Jumaat, 26 Februari 2010

Adun Titi Serong Selamat Dalam Kemalangan.



Adun Titi Serong, Perak, Drs Khalil Idham Lim terlibat dalam kemalangan kereta di Bukit Berapit petang semalam ketika dalam perjalanan memenuhi undangan program hi-tea dan ceramah di Tapah.

Ketika dihubungi, Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, beliau dan pemandunya tidak dapat mengelak apabila tiba-tiba sahaja sebuah lori kontena keluar dan meski mengelak namun berlaku juga geselan di sebelah kiri.

“Saya bersyukur kerana kami tidak mengalami apa-apa kecederaan meskipun kereta saya mengalami kerosakan teruk, namun dalam keadaan menggeletar dan trauma, saya masih boleh keluar dan menghubungi kawan-kawan berhampiran,” jelasnya.

Di dalam blognya, Cina Islam, beliau menyatakan selamat sampai sekitar jam 10.30 malam tadi di rumahnya di Parit Buntar dihantar oleh Unit Amal Bukit Gantang.

“Sebenarnya sehari dua ini badan juga kurang sihat dan pagi tadi saya sempat menemui doktor meminta ubat batuk, demam dan selsema. Selain itu saya mengambil peluang untuk memeriksa jantung, kolesterol dan kandungan gula. Alhamdulillah keadaan jantung dalam keadaan baik, kandungan gula 4.2 dan kolesterol 5.06. Kata doktor semuanya baik dan normal.

“Alhamdulillah saya dalam keadaan baik dan akan kembali bertugas esok hari. Petang esok saya akan menaiki kapal terbang dari Penang ke KL untuk menaiki kapal terbang ke Miri, Sarawak pada awal pagi sabtu ini kerana program yang telah diatur lebih awal. 

”Awal pagi minggu 28 Februari saya balik ke Kuala Lumpur untuk mengikuti tiga program yang diatur dan hanya akan kembali ke Parit Buntar pada pagi Isnin depan,” tambahnya lagi.

Menurutnya, semangat kembali pulih walaupun telinga masih rasa bengang dan terbayang-bayang bagaimana kejadian petang tadi, namun tidak melemahkan semangat untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, pimpinan PAS Perak serta sahabat-sahabat yang membantu semasa dan selepas kejadian, ketika membuat laporan di IPD Kuala Kangsar sehinggalah yang menghantarnya sampai ke rumah di Parit Buntar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails