Geng Aku

Rabu, 23 Disember 2009

Petronas Hanya Pentingkan Keuntungan..





KENAPA tak taja pasukan milik Malaysia Lotus 1MF1T?

Itu persoalan utama yang dilontarkan oleh beberapa peminat sukan pemotoran tempatan ketika diminta memberi pendapat mengenai perkembangan terbaru yang menyaksikan Petronas tampil sebagai penaja pasukan Mercedes.

Namun, yang sedihnya peminat serta beberapa individu berpengaruh dalam sukan pemotoran ini enggan nama mereka disiarkan.

Mereka berkata: "Keputusan Petronas untuk menjadi penaja utama pasukan Mercedes GP pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim 2010 menimbulkan pelbagai persoalan tentang kredibiliti syarikat petroleum gergasi itu dalam memajukan pembangunan sukan pemotoran di Malaysia."


PETRONAS turut menjadi penaja pasukan Red Bull dalam saingan F1.


Sebagai satu-satunya syarikat minyak dan gas terbesar negara, peminat F1 menjangkakan Petronas akan memberi sokongan kepada pasukan milik Malaysia iaitu Lotus 1MF1T yang diketuai Datuk Seri Tony Fernandes.

Namun sebaliknya, Petronas yang mula menceburi bidang kejuruteraan F1 ketika bersama Red Bull Sauber pada 1996, mengeluarkan kenyataan kelmarin untuk menaja pasukan Mercedes selama lima tahun bermula 2010 selepas penajaan dengan pasukan BMW Sauber berakhir musim ini.

Begitupun, perbadanan minyak nasional itu mempertahankan bahawa keputusan yang dibuat itu adalah berdasarkan prinsip perniagaan semata-mata dan tidak seharusnya terikat dengan sesebuah negara atau entiti mana-mana pasukan.


PASUKAN BMW merupakan pasukan terakhir yang ditaja oleh Petronas sebelum beralih ke Mercedes.


"Penyertaan dan pelaburan Petronas dalam sukan adalah berasaskan dan berpandukan usaha sama yang memberi sokongan langsung terhadap perluasan perniagaan dan pada masa yang sama, melengkapkan usaha penjenamaan antarabangsa," kata sumber Petronas kepada Kosmo! semalam.

"Keputusan untuk menaja Mercedes dibuat berdasarkan pertimbangan komersil dengan matlamat menjana pertumbuhan perniagaan berkekalan untuk Petronas, terutama dalam operasi globalnya.

"Penyertaan lepas dan semasa Petronas dalam sukan F1 bukan sahaja membangunkan jenama globalnya, malah telah menyumbang terhadap pertumbuhan perniagaan, terutama perniagaan bendalir dan minyak pelincir dalam beberapa pasaran utama di Asia dan Eropah," kata sumber itu lagi.


BARISAN pemandu yang pernah bernaung di bawah pasukan tajaan Petronas.


Petronas mengalihkan tumpuan pemasaran mereka kepada pasukan Mercedes GP adalah kerana melihat reputasi dan imej pasaran global yang dimiliki pengeluar kenderaan dari Jerman itu lebih berpotensi dari segi penjenamaan berbanding pasukan baru dari Malaysia, Lotus 1MF1T.

"Mungkin ramai yang berasakan Petronas sepatutnya menjadi penaja dan memberi sokongan kepada pasukan Lotus 1MF1T kerana pasukan itu dari Malaysia.

"Tetapi kami melihat Mercedes adalah satu jenama yang besar di peringkat global dan pasukan itu juga telah memenangi dua kejuaraan dunia F1 dengan nama Brawn GP musim lepas.

"Jadi dengan menjalinkan usaha sama dengan pasukan yang dikenali sebagai Mercedes GP ini, Petronas bukan saja dapat mengembangkan lagi kepakaran dalam bidang kejuruteraan pelincir dan enjin jentera, malah dapat memperluaskan lagi jenama Petronas dan imej Malaysia di seluruh dunia.

"Kami juga tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau entiti negara walaupun syarikat perbadanan ini merupakan hak milik kerajaan Malaysia," kata sumber itu lagi.

Sumber itu bagaimanapun memberitahu bahawa jumlah penajaan selama lima tahun dengan pasukan Merceders GP itu tidak dapat didedahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails