Geng Aku

Rabu, 4 November 2009

Status Bumiputera Sarawak tak berlandaskan 1Malaysia





Ketika memohon untuk program matrikulasi tahun lalu, pelajar berusia 17 tahun yang berasal dari Sri Aman, Sarawak mempunyai keyakinan dan harapan tinggi bahawa permohonannya akan diterima. Tetapi impian pelajar yang bercita-cita menjadi doktor itu berkecai meskipun dia mendapat 9A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Alasan Kementerian Pelajaran menolak permohonan pelajar cemerlang itu kerana dia tidak memenuhi syarat — dia bukan Bumiputera. Walhal ayahnya ialah Iban yang dipertemukan jodoh dengan wanita Cina yang kini menjadi ibu pelajar itu. Kes Marina Udau, pelajar yang dimaksudkan itu, bukan kekecualian.

Perkahwinan campur bukan sesuatu yang asing di Sarawak, terutama antara Iban dengan Cina. Mengikut banci 2006, ada sekitar 682,000 orang Iban berbanding Cina sebanyak 601,000 orang daripada 2.3 juta penduduk Sarawak. Disebabkan ada sekitar 28 suku kaum di negeri ini, kemungkinan untuk berlaku kahwin campur dengan kaum lain adalah sesuatu yang kerap berlaku, lebih-lebih lagi sesudah dekad 1980-an.

Dalam keluarga besar penulis daripada etnik Melanau, ada yang berkahwin dengan kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Bidayuh, Iban dan Cina. Perkahwinan sesama Bumiputera tidak menimbulkan masalah, kerana anak mereka dianggap Bumiputera. Tetapi yang menimbulkan masalah apabila kaum Bumiputera berkahwin dengan bukan Bumiputera. Anak wanita Bumiputera yang berkahwin dengan lelaki Cina, misalnya akan hilang “kebumiputeraannya”.

Meskipun demikian, Sarawak mempunyai Jawatankuasa Kabinet Negeri yang bermesyuarat dua kali setahun bagi memutuskan permohonan dan mengesahkan taraf Bumiputera seseorang hasil daripada perkahwinan campur.

Perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan siapa Bumiputera atau kaum peribumi di negara ini. Takrifan atau pengkategorian itu sebenarnya berbeza-beza untuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Pada amnya, di Semenanjung, anak secara automatik menjadi Bumiputera jika bapanya Bumiputera, manakala di Sabah pula, anak ialah Bumiputera jika ayah atau ibunya Bumiputera.

Mengikut perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan, bagi Sarawak, Bumiputera bermaksud “seorang warga negara dan ia adalah seorang daripada mana-mana suku kaum yang dinyatakan dalam Fasal 7 sebagai kaum asli negeri itu atau ia adalah seorang berketurunan campuran yang berasal hanya daripada kaum-kaum itu”. 

Hakikatnya, di Sarawak jika ayah ialah Bumiputera, maka anaknya secara automatik dikategorikan sebagai Bumiputera.

Mengikut pengkategorian dalam Perlembagaan Persekutuan, kaum-kaum yang disifatkan sebagai asli bagi Sarawak untuk maksud taraf “Bumiputera” dalam Fasal (6) ialah Bukitan, Bisaya, Dusun, Dayak Laut, Dayak Darat, Kedayan, Kelabit, Kayan, Kenyah (termasuk Sabup dan Sipeng), Kajang (termasuk Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit), Lugat, Lisum, Melayu, Melanau, Murut, Penan, Sihan, Tagal, Tabun dan Ukit.

Disebabkan fasal berkenaan dalam perlembagaan itu digubal pada awal 1960-an ketika Sarawak sama-sama membentuk Malaysia, fasal terbabit tidak menyebut kaum Iban dan Bidayuh. Sebaliknya, perkataan yang digunakan untuk merujuk kaum Iban ialah Dayak Laut, manakala Dayak Darat pula sebenarnya merujuk kepada kaum Bidayuh.

Kini di Sarawak, Murut tidak lagi digunakan; sebaliknya yang digunakan ialah Lun Bawan. Penulis percaya, sebahagian besar daripada rakyat Malaysia di luar Sarawak tidak pernah pun mendengar sebahagian daripada nama etnik yang disenaraikan itu. Etnik minoriti terbabit tinggal di kawasan hulu atau pedalaman dan jumlah mereka rata-rata adalah kurang daripada 10,000 orang.

Kes yang menimpa Marina mendapat reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik kerajaan dan pembangkang. Semua pihak hairan bagaimana kejadian yang menimpa Marina boleh berlaku. Kalaupun diketepikan kriteria atau kelayakan kaum, pelajar cemerlang seperti Marina seharusnya mendapat tempat.
Adakah begitu ramai pelajar Bumiputera yang mendapat keputusan secemerlang yang dicapai oleh Marina sehingga beliau tidak terpilih kerana keterbatasan kekosongan? Atau kes yang menimpa Marina adalah kerana pihak Kementerian Pelajaran mentafsirkan maksud Bumiputera mengikut perkara (161a) Perlembagaan Persekutuan untuk anak kelahiran daripada perkahwinan campur?

Jangan sampai pelajar seperti Marina berpendapat bahawa wujud dua kelas Bumiputera di negara ini. Persepsi sedemikian tentu tidak baik untuk masa depan negara ini. Sama seperti kita tidak mahu timbulnya tanggapan bahawa wujud dua kelas rakyat di Malaysia.

Di Negri Sembilan baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa tidak ada rakyat kelas dua atau satu di negara ini, sama seperti tidak terdapatnya rakyat yang terpencil dan sengaja dipinggirkan.

Ibu bapa yang mengamalkan kahwin campur di Sarawak kini risau akan nasib yang bakal menimpa anak mereka kemudian hari. Bagi golongan ini, taraf sebagai Bumiputera penting dalam menentukan sama ada layak atau tidak seseorang apabila membabitkan dasar kerajaan.

Sebagai Bumiputera, mereka mempunyai keistimewaan yang dijamin di bawah Perlembagaan, sama ada dari segi peluang mendapat pekerjaan, biasiswa, membeli tanah Bumiputera, dan sebagainya. Kebimbangan ibu bapa terbabit memang mempunyai asas kukuh. Jika anak mereka bukan Bumiputera, implikasi dan kesan dari segi psikologi, politik dan sosioekonomi amatlah besar dan mendalam.

Anak mereka tidak akan layak untuk memasuki Tingkatan Enam dan universiti awam jika tidak mendapat keputusan cemerlang, peluang mendapat biasiswa tipis, malah mereka tidak layak membeli Amanah Saham Bumiputera.

Menyedari implikasi politik dan sosioekonomi yang mendalam bagi anak hasil daripada perkahwinan campur antara Bumiputera dan bukan Bumiputera, mungkin langkah perlu diambil untuk meminda fasal tertentu Perlembagaan Persekutuan atau negeri. Tidak harus wujud tiga tafsiran yang berbeza. Justeru, perlu takrif terbabit diselaraskan bagi mengelakkan kekeliruan.

Sejajar dengan gagasan 1 Malaysia dan keinginan kita untuk mewujudkan negara bangsa, adakah keterlaluan jika anak daripada perkahwinan campur antara bukan Bumiputera dan Bumiputera secara automatik diberi status Bumiputera?

Dengan cara ini, kita akhirnya akan dapat menyaksikan masyarakat Malaysia yang benar-benar bersatu padu. Perkahwinan campur antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera perlu digalakkan kerana ini antara langkah terbaik ke arah memantapkan perpaduan kaum di negara ini.

Jika kita ikhlas dalam usaha berkenaan, tembok perbezaan tidak harus diwujudkan. Mengapakah kita perlu “menghukum” nasib anak wanita Bumiputera yang berkahwin dengan lelaki bukan Bumiputera? Bukan tidak ada wanita Bumiputera berkahwin dengan lelaki Cina yang risau akan nasib menimpa anaknya yang bakal hilang status Bumiputera.

Kini pun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkahwin dengan wanita berbangsa Cina dilaporkan risau mengenai nasib dan masa depan anaknya. Soal jodoh atau dengan siapa seseorang akan mendirikan rumah tangga ialah ketentuan Tuhan.

Jangan hanya kerana ada yang risau akan nasib menimpa anak yang bakal lahir, maka mereka mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hasrat murni mendirikan rumah tangga hanya kerana lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya bukan Bumiputera.

Nasib yang menimpa Marina tidak seharusnya berulang pada masa depan. Sebaliknya, pelajar seperti Marina perlu diberi peluang sama seperti pelajar cemerlang lain. Jika tidak, ini boleh dianggap sebagai peminggiran dan diskriminasi terhadap anak miskin dari luar bandar. Peluang yang diberi terhadap pelajar cemerlang seharusnya buta warna kulit, asal usul dan kaum jika benar-benar kita hendak melangkah ke hadapan sebagai negara dan bangsa yang maju. — Dr Jeniri Amir (BH)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails