|
|
Di Amerika Syarikat, program realiti ini sudah berjalan selama lapan musim. Popularitinya turut dapat dilihat di United Kingdom dan Australia yang sudah menayangkan tiga musim program yang diberi judul The Biggest Loser itu.
Timur Tengah serta Netherlands sudah melahirkan empat juara untuk program sama. Malah, negara-negara seperti Brazil, Hungary, India, Israel, Mexico, New Zealand, Slovakia dan Afrika Selatan juga tertarik dengan format menarik program realiti yang diisi dengan peserta obesiti.
Menjadi satu-satunya program yang memerlukan pesertanya menguruskan badan untuk menang, kini tiba giliran masyarakat Asia untuk bertanding. The Biggest Loser Asia telah memulakan sesi uji bakat dijalankan di Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia dari penghujung bulan Julai hingga pertengahan Ogos lalu.
Namun, daripada 2,000 orang yang hadir, hanya 30 orang dipilih untuk menjadi peserta program realiti itu. "Kami menawarkan peluang kepada seorang peserta bertuah bukan sahaja untuk memperbaiki secara drastik kualiti hidupnya tetapi juga menjadi jurucakap bagi menangani masalah obesiti di Asia.
"Tidak dilupakan juga pemenang akan membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak AS$100,000 (RM338,000) dan sebuah kereta jenama Renault," kata Pengarah Urusan NBC Universal Global Networks Asia Pasifik, Raymund Miranda pada sidang media mempromosikan program itu.
The Biggest Loser Asia akan ditayangkan setiap pukul 9 malam, setiap Selasa bermula malam ini di saluran Hallmark (Astro 702). Kesemua peserta akan berlatih di bawah dua jurulatih profesional, Dave Nuku dan Kristy Curtis.
"Mereka perlu mengurangkan berat badan yang dikumpul selama ini. Ia satu perjalanan yang emosi bagi peserta kerana mereka bukan sahaja akan mendapat berat badan ideal malah memperolehi keyakinan diri untuk meneruskan hidup.
"Ini kerana ramai yang hadir memberitahu mereka bukan sahaja mempunyai masalah kesihatan tetapi sentiasa ditindas serta diketawa kerana berat badan. Maka, ramai di antara mereka yang hidup dalam kesedihan," jelas Raymund mengenai program yang pertama kali diterbitkan untuk peserta Asia.
Merangkumi 14 episod, program itu juga mahu menyampaikan mesej kepentingan mengurangkan berat badan terutama kandungan lemak. Kesemua peserta berada dalam kem di Melaka dan akan menjalani program diet serta latihan fizikal lain.
Peserta akan dicabar dari segi mental dan fizikal. Mereka perlu menyertai program kesihatan, mengubah rutin hidup yang mewah, tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit dan Internet, diet secara sihat dengan maksimum 1,500 kalori sehari dan pastinya senaman.
|
|
Ia bukan senang kerana mereka akan digoda dengan makanan sedap dan setiap pergerakan mereka akan diawasi kerana penerbit mahu mereka berubah selama-lamanya. Dibahagikan kepada dua kumpulan dan terdapat penyingkiran pada setiap episod, The Biggest Loser Asia dihoskan oleh Sarimah Ibrahim dan akan disaksikan oleh penonton di beberapa buah negara Asia.
Mahu mengetahui siapa antara 30 peserta yang berjaya menyertai program itu? Jangan lupa untuk menyaksikan The Biggest Loser Asia dan mengikuti perjalanan cerita peserta kegemaran anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan