Geng Aku

Khamis, 26 November 2009

Nizar V'8! Kerajaan Selangor Haramkan Kakitangan Negeri dan Pelajar IPT Milik Selangor Hadiri Kursus BTN



Kerajaan Negeri Selangor hari ini memutuskan bahawa semua penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT), yang dimiliki oleh kerajaan negeri itu tidak dibenarkan mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.


Arahan tersebut turut melibatkan kakitangan jabatan Kerajaan Negeri dan pegawai dari anak-anak syarikat serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Rabu.



Dr Halimah berkata keputusan itu diambil selepas beberapa kajian mendapati kursus BTN yang dijalankan merupakan satu proses ‘indoktrinisasi’ Kerajaan Barisan Nasional.

Ini, kata beliau, boleh menimbulkan fenomena yang agak rasis, seolah-olah ingin memecahkan penduduk-penduduk pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

“Insya-Allah kita akan mengeluarkan surat arahan formaliti kepada institusi pengajian tinggi (IPT), jabatan serta agensi milik kerajaan negeri Selangor berhubung isu tersebut,” katanya.

Antara IPT yang terlibat adalah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Industri Selangor (Unisel), Institut Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Inpens.

Menurutnya, kebanyakan peserta yang menyertai kursus BTN ini juga dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada pihak pembangkang kerajaan di negara ini.

“Oleh kerana (kursus BTN) ini tidak memberi kesan yang positif terutamanya kepada golongan muda, kerajaan negeri membuat keputusan tidak perlu menghabiskan wang rakyat untuk kursus sebegini,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri berpendapat adalah lebih baik jika mereka memberi peluang kepada golongan mahasiswa dan kakitangan kerajaan di negeri itu mengikuti kursus-kursus yang lebih membina dalam usaha memupuk perpaduan sejati di kalangan rakyat Selangor.

“Insya-Allah usaha sebegini akan melahirkan masyarakat cemerlang supaya Selangor boleh jadi benar-benar maju, sejahtera, berkebajikan dan idaman semua orang,” katanya.

Selasa minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat daripada parti gabungan pembangkang itu telah menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah membuat desakan itu ialah Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails