Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di seluruh Kelantan malam Ahad sedikit berkurangan iaitu seramai 3,487 orang berbanding 3,842 orang pada sebelah petang.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata di Rantau Panjang, Pasir Mas juga berkurangan seramai 2,758 orang berbanding 2,823 orang pada sebelumnya.
"Di Tumpat semakin ramai yang dipindahkan iaitu 680 orang berbanding petang hanya seramai 469 orang manakala di Machang terus berkurangan seramai 49 orang berbanding 160 orang sebelum ini," katanya kepada Bernama.
Paras air Sungai Golok terus surut tetapi masih berada melebihi paras bahaya iaitu pada bacaan pukul 8 malam ialah 10.19 meter (bahaya sembilan meter).
Sungai-sungai lain juga terus surut di bawah paras waspada dan hampir ke normal.
Zon Bebas Rantau Panjang masih lagi ditutup berikutan pekan itu ditenggelami air lebih satu meter.
Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan dan tiada laporan kemalangan jiwa turut dilaporkan.
Cuaca malam ini terus baik dan diramalkan berterusan selama beberapa hari.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan