Geng Aku

Isnin, 4 Januari 2010

Kalimah Allah: PM Akan Mengadap Agong

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta umat Islam di negara ini bertenang dan tidak terlalu "memanaskan" isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katholik menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa isu itu amat sensitif serta menyentuh perasaan umat Islam di negara ini dan kerajaan akan menangani isu itu sebaik mungkin.

"Kerajaan amat sedar dan prihatin akan pelbagai reaksi yang telah kerajaan terima sejak keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini.

"Isu ini amat sensitif dan menyentuh perasaan terutama sekali umat Islam, kita hendaklah bersikap bertenang pada masa ini dan membiarkan perkara ini diselesaikan melalui proses mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi pelajar di Parlimen Pekan, lapor Bernama.
Bagaimanapun, ketika beliau bercakap, sekumpulan 200 orang Islam mengadakan protes di Pulau Pinang membantah keputusan mahkamah itu.

Protes selama satu jam itu pagi tadi diadakan di l7ar Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang diketuai oleh kumpulan yang menamakan dirinya Badan Anti Majlis Antara Agama (Badai). [Foto di bawah].
Sepertimana diketahui, rayuan boleh dikemukakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan, katanya ketika diminta mengulas pelbagai reaksi masyarakat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Najib berkata Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan mahkamah itu.

Selain itu, perdana menteri berkata beliau juga akan memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung proses rayuan berkenaan.

"Mereka (KDN) akan kemuka rayuan dan saya akan sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan jika Yang di-Pertuan Agong berkenan, akan diberi taklimat, juga taklimat kepada Majlis Raja-Raja," katanya.

Beliau berharap penyelesaian terhadap isu yang amat sensitif itu kelak dibuat dengan penuh kebijaksanaan.

Najib juga berharap isu itu tidak akan diburukkan lagi dengan pelbagai demonstrasi serta pelbagai petisyen dan memorandum berhubung perkara itu.

"Saya tak galakkan (umat Islam membuat demonstrasi dan sebagainya), (tapi) saya tahu perasaan di kalangan perasaan umat Islam, mereka merasa begitu terkilan.

"Cuma saya berharap perkara yang amat sensitif, kita biarkan kerajaan tangani isu ini dengan sebaik-baiknya melalui proses rayuan (di mahkamah)...saya tak nak terlalu memanaskan isu, kerajaan faham perasaan umat Islam, biarlah kita cari jalan sebaik-baiknya."
Menyinggung umat Islam

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan kalimah "Allah" dikhuatiri digunakan oleh pendakyah agama bukan Islam yang mahu mengelirukan umat Islam dengan tujuan tersirat mereka.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan gereja Katholik menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya telah menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

"Sebagai sebuah negara yang majmuk, mempunyai pelbagai agama, harus elakkan perkara sensitif ditimbulkan di mana-mana platform perundangan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar miskin di kawasan Parlimen Bagan Datoh hari ini.

Dr Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan "Allah".

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Dr Ahmad Zahid berkata umat Islam di negara ini amat menghormati kedudukan agama lain dan tidak mahu ada pihak mencampuri urusan agama Islam.

Katanya sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menetapkan dengan jelas bahawa perkataan "Allah" adalah khusus untuk orang Islam kerana ia merupakan perkataan khas sementara "Tuhan" merupakan nama am.

"Kalau selama ini tidak ada penulisan yang menggunakan perkataan "Allah" (bagi agama bukan Islam) mengapa pula akhbar mingguan 'Herald-The Catholic Weekly' terlalu ghairah hendak menggunakan perkataan "Allah".

"Dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan agama Islam adalah agama rasmi sementara agama lain boleh diamalkan di Malaysia tetapi tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam," katanya.

Beliau dengan itu menggesa semua tokoh ulama, pertubuhan bukan kerjaan dan seluruh umat Islam bersatu dalam hal melibatkan kesucian agama Islam.

Ahad, 3 Januari 2010

PAS Adakan Mesyuarat Khas Bincang Isu Nama Allah



PAS memanggil mesyuarat khas Lajnah Politik, iaitu lajnah paling berpengaruh dalam parti itu bagi membincangkan beberapa perkembangan terbaru termasuk isu penggunaan nama Allah oleh agama Kristian.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, mesyuarat itu akan diadakan malam esok di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.



"Kita turut menjemput AJK PAS Pusat dalam mesyuarat khas ini," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Mesyuarat ini dijangka membincangkan secara mendalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah milik aktivis Kristian, Herald, untuk menggunakan nama Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

Sejak keputusan itu dibuat, kelihatan pemimpin PAS tidak seragam pandangan mereka dalam isu ini.

Mesyuarat ini dijangka akan memberikan kata putus apakah pendirian bersama parti Islam itu dalam isu ini.

Anggota utama lajnah politik adalah pemimpin kanan PAS di samping beberapa pemimpin yang tidak berada dalam AJK PAS Pusat termasuk Khalid Samad, YDP PAS Shah Alam yang juga anggota Parlimen kawasan tersebut.

Makkal Sakti Sasar Tingkat Keanggotaan Tahun Ini



Parti Makkal Sakti Malaysia yang baru berusia lapan bulan mensasarkan meningkatkan keanggotaan kepada 300,000 daripada 57,000 sekarang menjelang akhir tahun ini.

Pengasas dan presiden kebangsaan parti, R.S. Thanenthiran berkata pelbagai program untuk menambah keanggotaan dirancang tahun ini termasuk melalui laman web dan secara online sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Kami meramalkan parti akan mempunyai 300,000 anggota menjelang akhir tahun, kebanyakannya golongan belia, berdasarkan sentimen di peringkat akar umbi. Berdasarkan respons, kami agak yakin kami dapat mencapai sasaran ini," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Parti Makkal Sakti ditubuhkan pada Mei dan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Okt, 2009.

Thanenthiran juga berkata kira-kira 60 peratus daripada 57,000 anggota parti masih belum berdaftar sebagai pengundi dan beliau akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mendaftarkan mereka.

Beliau turut mencadangkan kerajaan meminda undang-undang perkahwinan bagi mewajibkan orang bukan Islam menghadiri kelas kaunseling praperkahwinan.

"Pasangan perlu diberitahu mengenai tanggungjawab dan tugas masing-masing sebelum mendapatkan sijil kahwin," katanya dan menurutnya beliau merancang menubuhkan pusat kaunseling praperkahwinan pada tahun ini.

Sementara itu, Thanenthiran berkata beberapa pihak dalam Makkal Sakti telah melanggar perlembagaan parti dengan cuba mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam tempoh 90 hari bagi memilih presiden baru.

"Sesetengah pihak dalam parti telah menidakkan kehendak anggota dengan cuba mentafsir perlembagaan mengikut kepentingan dan faedah peribadi (untuk menyingkirkan presiden sekarang)," katanya dan menurutnya beliau tidak gentar dengan tindakan seumpama itu.

Baru-baru ini, setiausaha agung parti R. Kannan dipetik sebagai berkata bahawa EGM perlu diadakan kerana anggota berpendapat parti Makkal Sakti tidak aktif di bawah pimpinan Thanenthiran.

Beliau mendakwa sejak ditubuhkan, parti itu tidak menganjurkan aktviti bagi anggota dan gagal berkhidmat kepada rakyat khususnya masyarakat India.

Ku Li Masih Setia Dengan Umno.

Walaupun bersikap kritikal dan tidak bersetuju dengan banyak perkara dalam Umno, tetapi Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan bahawa itu tidak bermakna beliau akan meninggal parti itu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gua Musang berkata, semua itu 'belum cukup' untuk membuatnya 'menyeberang' ke parti lain.

"Ada perkara-perkara tertentu yang saya setuju, tetapi mungkin saya tidak bersetuju dengan banyak perkara lagi.

"Ia tidak bermakna yang saya tidak sepatutnya menjadi ahli Umno," katanya Tengku Razalegih.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu, beliau menjelaskan mengapa pindaan perlembagaan Umno baru-baru ini tidak banyak dapat membebaskan Umno dari imej rasuah - yang mengakibatkan BN mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 2008.

Menurutnya lagi, sebarang perubahan yang berkesan dalam Umno - yang menjadi tunggak BN - hanya boleh berlaku sekiranya ahli-ahlinya dapat memisahkan diri mereka daripada politik naungan.

"Sikap dan cara pemikiran ahli-ahli Umno mesti berubah. Mereka tidak boleh bergantung kepada naungan sepanjang masa... dan mereka mesti membuang tabiat lama yang tidak baik," katanya.

Pindaan perlembagaanUmno itu menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan parti itu, dan ini membuka peluang kepada Tengku Razaleigh untuk bertanding sekali lagi jawatan presiden.



Namun begitu, ia tidak membawa banyak makna kepada bekas menteri kewangan itu yang hampir menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan 1987.

"Ia tidak mencapai separuh pun daripada apa yang telah saya cadangkan, Saya mencadangkan supaya setiap ahli diberi hak untuk memilih pemimpin mereka melalui satu pemilihan yang adil," katanya.

Jumaat, 1 Januari 2010

Khairy Gigit Jari Lagi.

Selepas disebut-sebut bakal menyertai kabinet, nampaknya Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin terpaksa menggigit jari apabila Perdana Menteri mengumumkan, pemimpin dari Sarawak akan menggantikan Sulaiman Abdul Rahman Taib yang meletakkan jawatan.

Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya di Kuching berkata, pemimpin dari Sarawak akan menggantikan Sulaiman sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

"Ya dari Sarawak. Kita sudah ada nama tetapi tidak boleh diumumkan lagi," kata Najib selepas merasmikan mesyuarat agung Sarawak Progressive Democratic Party's (SPDP) di Dewan Suarah 29 Disember lalu.

Sulaiman, 41, yang juga Timbalan Ketua Pemuda, Parti Pesaka Bumiputera (PBB) telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada 19 Mac 2008 lalu semasa Tun Abdullah masih Perdana Menteri.

Beliau kemudiannya dikekal dalam kabinet apabila Najib ambilalih jawatan PM pada April lalu.

Pada 4 Disember lalu, Sulaiman mengumumkan, dia telah meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri dengan alasa peribadi.

Najib kemudiannya menerima perletakan jawatan itu selepas berbincang dengan ayah Sulaiman, Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak.

Sebelum itu, Najib disebut-sebut bakal membuat rombakan kabinet dan nama Khairy disebut-sebut bakal dilantik menjadi timbalan menteri.



Sebuah akhbar politik, Siasah melaporkan di muka depannya, Khairy bakal gigit jari lagi untuk menyertai kabinet. Akhbar itu mengaitkan serangan bertubi-tubi Tun Dr Mahathir terhadap kerajaan dan Umno pimpinan Najib sebagai tanda-tanda bantahan Mahathir terhadap berita angin itu.

Ini kerana, sejak sekian lama, iaitu semasa Tun Abdullah, bapa mertuia Khairy adalah Perdana Menteri, Mahathir menjadikan Khairy sebagai sasarannya.

Selepas pemilihan Umno lalu, anak Mahathir, Mukhriz yang kalah di tangan Khairy dalam merebut jawatan Ketua Pemuda Umno telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Pemenang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim juga dilantik sebagai timbalan menteri iaitu di Kementerian Belia dan Sukan.

Namun, Khairy yang menang Ketua Pemuda tidak mendapat sebarang jawatan dalam kerajaan.

Apabila ura-ura Najib mahu membuat perubahan dalam kabinetnya, nama Khairy disebut-sebut bakal menjadi timbalan menteri. Turut melaporkan ura-ura ini adalah akhbar Umno, Utusan Malaysia.

Apabila Sulaiman meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri, nama Khairy sekali lagi disebut-sebut.

Namun dengan pengumuman Najib bahawa orang Sarawak akan menggantikan Sulaiman, Khairy nampaknya terpaksa menggigit jari lagi.

Hadiah Tahun Baru Oleh PM.



Rakyat mendapat hadiah tahun baru dari kerajaan apabila harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram kepada RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak mulai 12 tengah malam ini.

Menurut kenyataan, kenaikan ini berikutan kenaikan harga gula mentah dunia.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Mohd Zain Mohd Dom di sini hari ini.

Selamat Tahun Baru 2010



Selamat tahun baru diucapkan kepada semua pembaca di blog ini..Semoga tahun 2010 akan memantapkan lagi perubahan politik di Malaysia.

Teruskan mengikuti perkembangan isu semasa & politik hanya di Orange Warna Oren.

Khamis, 31 Disember 2009

Salahuddin Ayub Di Astro Awani 9.30 Malam Ini.



Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub akan menyertai rancangan bual bicara di Studio Astro Awani saluran 501, jam 9.30 malam ini.

Rancangan yang dihoskan oleh Suhaimi Sulaiman turut menampilkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Saifuddin Abdullah.



Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kurian ketika dihubungi memaklumkan program secara langsung malam ini membicarakan tajuk 'Tadbir Urus dan Masa Depan Negara'.

Beliau juga dijangka akan mengupas budaya ketirisan dan pembaziran wang rakyat semasa zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi sewaktu kedua-dua pemimpin itu menjadi Perdana Menteri Malaysia, seperti yang didedahkan beberapa pihak belakangan ini.

Rabu, 30 Disember 2009

Sokong Husam, Elakkan Keluarga Campuri Hal Kerajaan



Kebanyakan blog pro-PAS, termasuk di kalangan aktivisnya, menyokong ketegasan exco kanan kerajaan Kelantan mendesak pentadbiran kerajaan dipisahkan daripada kepentingan keluarga.

Walaupun teguran Datuk Husam Musa itu tidak jelas ditujukan kepada Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi penulis-penulis blog itu menyifatkan artikel 'Malaysia atau diri' kelmarin merujuk perkembangan terkini politik negeri itu.

Penulis yang turut berdiri di belakang Husam, dalam isu ini, termasuklah Mohd Sayuti Omar, penulis politik terkenal yang selalunya kritikal pada bekas naib presiden PAS itu.




"Kalau Husam menegur Nik Aziz dan sesiapa dengan pandangan itu, tujuannya tidak lain untuk menjaga PAS dan kerajaan Kelantan.

"Saya tidak fikir dia ada udang di sebalik batu dan mengharap sesuatu untuk dirinya dengan teguran itu," kata pengamat politik kelahiran Kelantan itu.

"Saya bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Husam. Kebimbangan Husam itu, adalah juga kebimbangan saya malahan itulah yang telah saya suarakan sebelum ini."

Seperti tanggapan beberapa blog lain, seorang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan pula menyifatkan teguran Husam itu sebagai keberanian baru setelah lama berdiam diri.

Seorang bekas pegawai mantan menteri besar Perak, Anuar Hashim, turut melontarkan sokongan bersama Husam di blognya Perakite semalam.

Menulis di blognya Cetusan Hati, Husam menggesa pemimpin sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan hal-ehwal pentadbiran daripada kepentingan kekeluargaan.


Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Husam menyeru agar wujud pemisahan jelas dua bidang tersebut.

"Politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar (BN) tahun 2004 tidak berulang.

"Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008," coretnya.

"Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah pemegang kepentingan yang lebih penting daripada pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah."

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails